Friday, April 17, 2020

Persiapan menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak pada kali ini...



Lebih kurang kurang seminggu lagi seluruh umat Islam bakal menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan yang sememangnya dinantikan setiap tahun. Selain melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan memperbanyakkan amal kebajikan, pasti ramai yang menantikan suasana bersolat sunat terawih di masjid atau surau.

Namun, keadaan tentunya amat berbeza bagi Ramadan tahun ini apabila umat Islam di negara ini berpuasa ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jumaat lepas bahawa tempoh PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 28 April ini, dan umat Islam dijangka mula berpuasa dalam tempoh berkenaan.

Untuk pertama kalinya umat Islam akan menyambut Ramadan ketika PKP dilaksanakan. Pada pendapat aku bulan Ramadan harus dilihat secara bijaksana dengan sudut pandangan yang penuh kebaikan serta manfaat sewaktu di akhirat.

Mengenai amalan solat sunat terawih pada bulan Ramadan semasa PKP pula, aku rasa ia tidak menjadi masalah kerana boleh dibuat di rumah tanpa ke masjid atau surau. Tiada masa lain yang lebih sesuai untuk amalkan cara hidup sunnah, makan secara minimum, solat on time (di awal waktu), tidur awal bangun awal, membaca al-Quran dan berzikir sementara tunggu azan maghrib. Sesungguhnya, COVID-19 adalah titik tolak untuk ingatkan kita semua tentang kemanusiaan dan kembalikan manusia kepada asas fitrah.

Pada bulan Ramadan sepatutnya menginsafkan manusia dan merasai kesusahan orang lain yang kurang mampu. Seperti yang kita tahu bazar Ramadhan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP ini. Jadi sedikit sebanyak dapat mengelakkan kita daripada bermewah-mewah sehingga membazir, waktu berbuka beli macam-macam dan makan sampai kekenyangan, dan mungkin akan membuatkan kita tidak larat untuk solat.

Jadi di kesempatan ini aku nak mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat Islam di Malaysia amnya dan kepada semua saudara-mara serta sahabat handai khasnya. Semoga korang semua memanfaatkan masa yang ada sepanjang tempoh PKP ini dijalankan.

No comments:

Post a Comment