Saturday, April 18, 2020

Honda Civic Generasi ke 10 tampil lebih garang


Kereta jenama Honda sudah pasti diminati oleh ramai peminat automotif di Malaysia termasuklah aku sendiri. Kereta keluaran negara matahari terbit ini sudah pun bertapak lama di Malaysia. Salah satu model Honda yang diminati ramai ialah model Civic. Dan kini Honda telah melancarkan model Civic Generasi yang ke-10 yang tampil lebih garang dan sporty. Di sini aku nak buat sedikit review tentang keistimewaan dan kecanggihan model Civic yang baru ni.




Honda Malaysia telah melancarkan model generasi Civic yang baru, peneraju segmen C di Malaysia yang dilengkapi dengan Teknologi Keselamatan Termaju Generasi Seterusnya, Honda SENSING. Honda Civic yang baru ini didatangkan dengan tiga varian iaitu 1.8S yang ditawarkan pada harga bermula RM113,600, 1.5TC (RM129,600) dan 1.5TC-P (RM139,600). Dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbocharged, model ini menyerlahkan elemen pemanduan Honda yang mengujakan dengan prestasi dinamik dan penjimatan bahan api yang cemerlang. Enjin VTEC Turbocharged itu juga menjanjikan ‘Keseronokan untuk Memandu’ dengan kuasa maksimum mencecah 173PS dan tork 220Nm, yang menyamai prestasi enjin bersesaran 2.4L.


Model ini juga ditawarkan dengan enjin 1.8L i-VTEC berkuasa 141PS dan tork 174 Nm, sesuai untuk mereka yang lebih gemarkan enjin aspirasi biasa. Kedua-dua enjin itu diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle). Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata model Civic ini juga menjadi model Jepun pertama keluaran tempatan secara besar-besaran dalam segmen C yang ditawarkan dengan lapan ciri penuh keselamatan termaju Honda SENSING. “Kami meletakkan sasaran jualan Civic baharu iaitu 1,000 unit sebulan,” katanya.

Civic Generasi ke-10 adalah model kegemaran rakyat Malaysia dan mendominasi segmennya dengan penguasaan pasaran sebanyak 72 peratus sepanjang tahun 2019. Civic generasi ke-10 ini menjadi model pilihan ramai dalam segmennya dan berjaya dijual lebih 48,000 unit sejak dilancarkan empat tahun lalu. Secara keseluruhannya, Civic yang diperkenalkan di Malaysia telah mencatat jualan lebih 135,000 unit setakat Januari 2020.

Menyentuh mengenai Civic baru ini, dari segi luaran, ia mengetengahkan gaya sebuah ‘fastback’ yang lebih menarik. Ia hadir dengan bamper hadapan yang baru bersama gril hitam yang memberikannya penampilan yang lebih garang. Kemasan pada bampar belakang dan spoiler belakang baharu membuatkannya nampak semakin bergaya selain dilengkapi rim aloi hitam bersaiz 18-inci baru.



Reka bentuk dan prestasi Civic baharu disempurnakan lagi dengan ruang dalamannya yang menarik setaraf dengan ciri kenderaan segmen D seperti tempat duduk dibalut kulit Baharu bersama dengan ciri standard seperti pengilap cermin hadapan automatik baharu, tempat duduk pemandu berkuasa dengan lapan talaan, penghidup enjin kawalan jauh (Remote Engine Start) dan ‘Walk Away Auto Lock’ untuk semua varian.



Semua varian Civic baharu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang terbaik dalam kelasnya seperti Enam Beg Udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Agile Handle Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Membrek (BA), Auto Brake Hold (ABH), sensor hadapan baharu dan ISOFIX pada tempat duduk belakang.



Civic baharu juga ditawarkan dengan warna baharu iaitu Merah Mutiara (Passion Red Pearl) yang meningkatkan lagi penampilannya yang garang dan sporty. Pilihan warna yang lain adalah Perak (Lunar Silver Metallic), Putih Mutiara (White Orchid Pearl), Kelabu (Modern Steel Metallic) dan Hitam Mutiara (Crystal Black Pearl).

No comments:

Post a Comment